“KALAU betul saya gagal memberikan kebahagiaan yang Awie cari selama ini, lepaskanlah saya dengan cara baik.

“Tapi demi kebajikan anak-anak, saya bersedia untuk berbaik dan duduk berbincang. Kita jadi kawan,” kenyataan tersebut terbit dari bibir Rozana Misbun, isteri kepada vokalis kumpulan Wings, Ahmad Azhar Othman atau Awie.

Setelah berjaya mendapatkan hak penjagaan sementara ketiga-tiga anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 8, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Putri Qasseh Antasha, 5, Rozana berkata dia bersedia untuk mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut rumahtangganya yang berlarutan sejak pertengahan tahun lalu.

“Kalau benar Awie dah hilang rasa hormat pada saya sebagai manusia dan isteri, hormatilah saya sebagai ibu yang bersengkang nyawa melahirkan anak-anaknya. Itu sahaja yang saya minta,” ujarnya lagi kepada portal MStar.

Bukan itu sahaja, Rozana turut meluahkan kesal terhadap tindakan Awie yang disifatkan telah mengaibkannya melalui kenyataan demi kenyataan di media termasuk isu mengamalkan perkara khurafat dan mengabaikan anak.

“Siapa yang tak malu apabila suami sendiri menuduh macam-macam sedangkan saya ini isteri dia. Memang jatuh air muka saya dan ada masanya saya malu sangat untuk berdepan dengan masyarakat.

“Tapi dalam klausa (4) perintah mahkamah, ada ditulis secara terang dan nyata bahawa Awie ditegah sama sekali daripada mengaibkan saya di media elektronik, Internet dan cetak.

“Kalau dia berdegil juga, maknanya dia menghina mahkamah dan biarlah mahkamah sahaja yang tentukan hukumannya,” kata Rozana.

Dalam pada itu, Rozana menolak dakwaan bahawa dirinya curang. Ujarnya, setiap hari yang dilalui diisinya dengan rutin menguruskan ketiga-tiga anak dari pagi hinggalah malam.

“Macam manalah saya nak curang? Saya ni, sepanjang sembilan tahun berkahwin, hidup mati saya hanya untuk Awie dan keluarga.

“Sejak Putra Ahmad Merrah, Putra Ahmad Rezzki dan Putri Qasseh Antasha mula bersekolah celik mata saja, sayalah yang mandikan, sediakan sarapan dan siapkan pakaian mereka semua sebelum menghantar sendiri mereka ke sekolah.


“Tengah hari pulak saya sibuk di dapur siapkan makan tengah hari untuk keluarga sebelum sebelah petangnya jemput anak-anak di sekolah. Sebelah malamnya saya pastikan mereka mengaji dan ‘monitor’ buat kerja sekolah.

“Pukul 9 malam semua dah kena tidur sebab saya tak mahu mereka liat bangun pagi esoknya untuk ke sekolah.

“Saya tak tahu ruang manakah untuk saya berpeleseran dengan lelaki lain? Lagipun dengan imej Awie sebagai ‘ayahanda’ ada ke lelaki yang berani nak kacau isterinya ini?

“Mestilah ada ‘mata-matanya’ akan segera memberitahu ‘ayahanda’ Awie kalau betul mereka nampak saya berpoya-poya di luar,” jelas Rozana panjang lebar.

Walau apapun dugaan yang melanda, baik Awie mahupun Rozana perlulah mencari jalan penyelesaian terbaik kerana bukan mereka berdua sahaja mangsa situasi, namun ia melibatkan anak-anak juga.
Labels:

Post a Comment

Author Name

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.