JALWATI Jalil ketika ditemuramah wartawan. (Dalam bulatan) Damia
Subang Jaya:“Saya masih mengharapkan suami dapat pulang ke pangkuan terutama anak yang sehingga kini masih bertanyakan khabar mengenai bapanya.
“Jika benar, kami reda dan mungkin sudah takdir Allah S.W.T, tapi sekurang-kurangnya tunjukkan bukti mengenai apa juga yang berkaitan untuk menunjukkan ia sebagai satu kemalangan,” kata Jalwati Jalil, 33, isteri kepada penumpang MH370, Safuan Ramlan.
Jalwati ditemui bersama lebih lima waris MH370 yang lain termasuk Muhammad Shahril Shaari iaitu abang saudara pasangan pengantin lelaki, Mohd Razahan Zamani yang ditemui pada sesi berkumpul waris penumpang MH370 di Perkarangan Hotel Holiday Villa, Subang Jaya, pada 9 malam tadi.
Menurutnya, dia dan anaknya, Damia Umaira Safuan berusia tujuh tahun, terkejut apabila Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengumumkan deklarasi berkaitan kehilangan pesawat berkenaan.
“Saya dah buat persediaan rapi menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku kepada suami saya. Tapi biarlah ada bukti kukuh menunjukkan keadaan sebenar.
“Anak sehingga kini masih bertanya mengenai ayahnya, tapi saya cuba menenangkannya termasuk memberitahu keadaan sebenar, syukur dia (Damia) memahami situasi sukar ini,” katanya.
Katanya, boleh isytihar pesawat MH370 sebagai satu kemalangan tapi perlu ada bukti kukuh yang boleh dia dan keluarga terima dan percaya.
“Bukan mahu ia selesai dengan segera tanpa bukti kukuh. Tapi tunjukkan apakah sebenarnya yang berlaku. Saya tidak dapat terima kenyataan kerana tiada bukti kukuh itu, macam tidak percaya apa yang berlaku,” katanya kepada wartawan, malam tadi.
Ketika ditanya mengenai pengumuman semalam, antara lain bagi memudahkan waris keluarga mendapat pampasan dan tuntutan insurans, Jalwati berkata, ia bukan keutamaan sebaliknya mahukan bukti kukuh jika benar MH370 terbabit kemalangan.
“Itu tidak penting. Apa yang penting adalah bukti kukuh hasil penyiasatan terperinci,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Shahril berkata, dia dan keluarga masih mengharapkan orang yang mereka sayang pulang ke pangkuan keluarga.
“Apapun, saya dan keluarga reda dengan pengumuman yang dibuat selain mahu bukti kukuh menunjukkan pesawat MH370 terbabit kemalangan.
“Pada awalnya, sukar untuk kami sekeluarga menerima hakikat. Kami tidak menerima apa-apa maklumat sebelum pengumuman dibuat, hanya mengetahui menerusi televisyen kira-kira 10 malam,” katanya.
Terdahulu, DCA mengeluarkan kenyataan mengenai perkembangan terkini kehilangan pesawat MH370 secara langsung menerusi saluran RTM1 pada 6 petang.
Menerusi kenyataan itu, semua 239 penumpang dan kru pesawat MH370 yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, 8 Mac tahun lalu dianggap terkorban dan kehilangan pesawat itu sebagai satu kemalangan.
-Mymetro
Labels:

Post a Comment

Author Name

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.